11 Rabiulawal 1448 H | Isnin, 24 Ogos 2026
Soalan Lazim Peta Laman Maklum Balas |
| |
Jabatan Mufti Negeri Melaka
Utama / Warta Fatwa / Aqidah / Pengharaman Ajaran The Ahmadi Religion Of Light And Peace

Pengharaman Ajaran The Ahmadi Religion Of Light And Peace

FATWA-WARTA-AHMADI-RELIGION · 6 November 2025

Jata Negeri Melaka

NEGERI MELAKA

Warta Kerajaan
DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF MALACCA GAZETTE
PUBLISHED BY AUTHORITY

Jil. 69
No. 45

6hb November 2025

TAMBAHAN No. 13
PERUNDANGAN

ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM
(NEGERI MELAKA) 2002

ADMINISTRATION OF THE RELIGION OF ISLAM
(STATE OF MALACCA) ENACTMENT 2002

M. P.U. 15.

FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36
FATWA UNDER SECTION 36

Fatwa yang dinyatakan dalam Jadual telah disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 [Enakmen 7 tahun 2002], dan telah dikemukakan kepada Majlis oleh Mufti, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, menurut subseksyen 36(3), dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah subseksyen 36(4) bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta, dan telah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri menurut subseksyen 36(6) fatwa itu adalah disiarkan dalam Warta di bawah subseksyen itu.

The Fatwa set out in the Schedule was prepared by the Fatwa Committee under section 35 of the Administration of the Religion of Islam (State of Malacca) Enactment 2002 [Enactment 7 of 2002], and has been submitted to the Majlis by the Mufti, on behalf and in the name of the Fatwa Committee, pursuant to subsection 36(3), and the Yang di-Pertuan Agong has given his assent under subsection 36(4) for the publication of the fatwa in the Gazette, and the State Government has been informed of the fatwa pursuant to subsection 36(6) and the fatwa is published the Gazette under that subsection.

JADUAL/SCHEDULE

  1. Ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light atau mana-mana ajaran yang boleh dikaitkan dengan ajaran ini atau yang mempunyai persamaan dengannya adalah sesat dan menyeleweng serta bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar berlandaskan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara ciri-ciri penyelewengan mereka adalah seperti yang berikut:
    1. mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (Imam Syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi. Beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman;
    2. mendakwa Imam al-Mahdi iaitu Muhammad ibn al-Hassan al-Askari mempunyai para penolong atau ansar yang terdiri daripada 12 orang yang dianggap sebagai keturunannya secara maknawi/rohani. 12 orang ini dianggap sebagai Mahdi-Mahdi kecil yang menjadi wakil kepada Imam Mahdi daripada satu generasi sehingga Imam al-Mahdi keluar daripada persembunyiannya;
    3. mendakwa Ahmad al-Hasan sebagai Mahdi (penolong Imam al-Mahdi) yang pertama manakala Abdullah Hashem sebagai Mahdi yang kedua;
    4. mendakwa Ahmad al-Hasan yang digelar al-Yamani berperanan sebagai utusan kepada Imam al-Mahdi dan akan membawa syariat baharu dan terakhir yang menyempurnakan ajaran dan syariat para Nabi terdahulu. Oleh itu, syariat yang dibawa oleh Ahmad al-Hasan akan diubah sesuai dengan zaman semasa;
    5. mendakwa Abdullah Hashem yang digelar sahabat dari Mesir (the companion of Egypt) berperanan sebagai pembangkit keluarga Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam (The riser/Qaim of the family of Mohammed) yang akan memimpin manusia bagi menyambut Imam al-Mahdi. Imam al-Mahdi hanya akan bercakap kepada manusia melalui al-Qaim;
    6. mempercayai bahawa Imam al-Mahdi akan menyempurnakan agama Islam yang masih belum sempurna;
    7. menafikan konsep syurga dan neraka serta akhirat secara umum dan keseluruhannya yang termaktub dalam al-Quran dan al-Hadis serta mendakwa syurga yang didiami oleh Nabi Adam dan Hawa ialah di dunia, malah syurga akhirat itu juga adalah di dunia, manakala neraka pula membawa maksud matahari;
    8. membuat dakwaan palsu terhadap para rasul, nabi dan isteri-isteri mereka, antaranya:
      1. mendakwa bahawa isteri Nabi Nuh ‘Alaihissalam diselamatkan daripada banjir besar walaupun pada awalnya menentang ajaran Nabi Nuh ‘Alaihissalam. Pengkhianatan isterinya yang dimaksudkan dalam al-Quran adalah kerana dia melakukan hubungan terlarang dengan lelaki lain dan melahirkan salah seorang anak yang kemudiannya tenggelam dalam banjir tersebut;
      2. mendakwa Tuhan memerintahkan Nabi Adam ‘Alaihissalam dan keturunannya untuk mengamalkan taqiyyah dalam beragama;
      3. mendakwa Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam berkahwin dengan adik tirinya iaitu Sarah. Huajah ini adalah berdasarkan keterangan yang terdapat dalam Bible;
      4. mendakwa Nabi Lut ‘Alaihissalam menawarkan anak-anak perempuannya untuk melakukan hubungan terlarang dengan pemuda-pemuda kampungnya dan menuduh Nabi Lut ‘Alaihissalam melakukan hubungan sumbang dengan anak-anak perempuannya. Nabi Lut ‘Alaihissalam juga dituduh melanggar perintah Allah dengan enggan meninggalkan kaumnya;
      5. mendakwa Siti Hawa ‘Alaihassalam mencemburui Siti Fatimah ‘Alaihassalam kerana Allah Subhanahu wa ta’ala menjadikan wanita yang lebih baik daripadanya bahkan Nabi Adam ‘Alaihissalam dikatakan pernah cuba melakukan hubungan terlarang dengannya sehingga datang Saidina Ali Radhiallahu ‘anhu menghalauhnya daripada syurga;
      6. mendakwa bahawa Nabi Idris ‘Alaihissalam ialah dewa kepercayaan Mesir purba iaitu Osiris dan mempunyai anak bernama Horus. Horus pula didakwa sebagai jelmaan malaikat bernama Hoor-Rael dan juga adalah jelmaan Nabi Nuh ‘Alaihissalam; dan
      7. mendakwa bahawa Nabi Isa ‘Alaihissalam ialah malaikat Jibril ‘Alaihissalam;
    9. menghina para nabi dan rasul dengan mengatakan bahawa terdapat para nabi yang hampir-hampir ditarik balik kenabiannya termasuklah Nabi Musa ‘Alaihissalam, Nabi Yaakob ‘Alaihissalam dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam;
    10. mendakwa bahawa Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam melakukan kesalahan kerana tidak mengkhabarkan kepada para sahabat Radhiallahi ‘anhum tentang kedudukan Saidina Ali Radhiallahu ‘anhu kerana malu bahawa beliau adalah sepupu dan berkahwin dengan anaknya. Saidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu dan Saidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu juga ditoduh memesongkan orang Islam dan menyeleweng daripada ajaran Islam dengan mengetepikan Saidina Ali Radhiallahu ‘anhu sebagai pengganti yang sebenarnya;
    11. berpegang kepada konsep raj’ah atau kelahiran semula manusia yang telah mati (reincarnation);
    12. mendakwa bahawa Al-Quran yang ada pada hari ini tidak lengkap atau diselewengkan. Al-Quran yang ada pada hari ini adalah versi tidak lengkap yang dikumpulkan oleh Saidina Othman Radhiallahu ‘anhu manakala versi lengkap ialah yang dikumpulkan oleh Saidina Ali Radhiallahu ‘anhu yang diperturunkan kepada para Imam Syiah sehingga kepada al-Qaim, iaitu Abdullah Hashem;
    13. menafikan kewujudan Malaikat pencatat amal baik dan buruk serta mendakwa ia simbolik kepada indera manusia;
    14. mendakwa bahawa selain Allah, terdapat pihak lain yang terbabit dan berperanan dalam penciptaan manusia dan alam;
    15. mendakwa penyaliban Nabi Isa ‘Alaihissalam adalah menghapuskan dosa semua manusia pada zamannya, begitu juga kematian Saidina Hussain dan Nabi Yahya ‘Alaihissalam;
    16. mendakwa bahawa wanita tidak perlu memakai hijab dengan alasan bahawa ia adalah syariat Ahmad al-Yamani, bahkan mendakwa bahawa ia bukan amalan Islam dan hijab bagi wanita hanya sunat dan bukannya wajib. Oleh itu, Abdullah Hashem akan berusaha menghapuskan ajaran Islam mengenainya dan menggantikannya dengan kefahamannya;
    17. mendakwa solat bermaksud tunduk kepada rasul, nabi dan imam. Solat lima waktu adalah merujuk kepada wali-wali atau wakil-wakil al-Mahdi termasuk Ahmad al-Hassan, Abdullah Hashem dan penolong-penolong Imam Mahdi yang seterusnya. Oleh itu, solat dikatakan sebagai bermaksud patuh kepada mereka;
    18. mendakwa arak adalah halal dan pengharamannya pada zaman Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam adalah disebabkan kerana masyarakat Arab terlalu ekstrem meminumnya;
    19. mendakwa perbuatan homoseksual belum diharamkan pada zaman Nabi Lut ‘Alaihissalam dan perbuatan tersebut bukan satu kesalahan;
    20. mendakwa Kaabah di Mekah adalah didirikan oleh kaum Quraisy dan Kaabah yang sebenar adalah terletak di Petra Jordan; dan
    21. mendakwa bahawa Kalendar Hijrah adalah bukan berasaskan kiraan qamariyyah dan sebaliknya ialah shamsiyyah. Oleh itu, umat Islam selama ini telah tersilap dalam ibadat puasa dan ibadat haji mereka yang dilaksanakan bukan pada waktunya. Bulan Ramadan yang sebenar didakwa pada bulan Disember dan orang Islam sepatutnya berpuasa pada bulan tersebut;
  2. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan berpegang dengan fahaman dan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light atau mana-mana ajaran yang boleh dikaitkan dengan ajaran ini atau yang mempunyai persamaan dengannya sama ada dengan menjadi pengikut, ahli kumpulan, berada di dalam majlis atau acara yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light atau mana-mana ajaran yang boleh dikaitkan dengan ajaran ini atau yang mempunyai persamaan dengannya.
  3. Apa-apa bahan hebahan dan sebaran yang menonjolkan ajaran dan fahaman The Ahmadi Religion of Peace and Light atau mana-mana ajaran yang boleh dikaitkan dengan ajaran ini atau yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan elektronik dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, Blog, Instagram, Facebook, Twitter atau mana-mana media sosial lain adalah ditegah untuk disebarkan dan dilayari atau diikuti.
  4. Mana-mana orang Islam adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedarkan filem, rakaman audio atau visual, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa dokumen yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light atau mana-mana ajaran yang boleh dikaitkan dengan ajaran ini atau yang mempunyai persamaan dengannya.
  5. Mana-mana orang Islam adalah dilarang dan ditegah daripada mengamali, menyebar dan mengembangkan fahaman dan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light atau mana-mana ajaran yang boleh dikaitkan dengan ajaran ini atau yang mempunyai persamaan dengannya di negeri Melaka.
  6. Mana-mana orang Islam yang melakukan mana-mana perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Melaka.
  7. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengajar, menganjur, belajar, mengadakan, membantu menjalayakan apa-apa majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light atau mana-mana ajaran yang boleh dikaitkan dengan ajaran ini atau yang mempunyai persamaan dengannya adalah melakukan kesalahan dan ia hendaklah disekat dengan apa cara sekalipun daripada disebarkan di negeri Melaka.
  8. Mana-mana orang Islam yang telah terlibat dengan fahaman dan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light atau mana-mana ajaran yang boleh dikaitkan dengan ajaran ini atau yang mempunyai persamaan dengannya ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa’taala.

Bertarikh 24 Oktober 2025
Dated 24 October 2025
[JMM/BFB(S)600-1/8/1; PUNM.700-02/37 Jilid 4]

DATUK SERI UTAMA AB RAUF BIN YUSOF
Pengerusi/Chairman
Majlis Agama Islam
Melaka

Fail Fatwa

Pengharaman Ajaran The Ahmadi Religion Of Light And Peace
← Kembali ke Aqidah Semua Warta Fatwa →