11 Rabiulawal 1448 H | Isnin, 24 Ogos 2026
Soalan Lazim Peta Laman Maklum Balas |
| |
Jabatan Mufti Negeri Melaka
Utama / Warta Fatwa / Aqidah / Pengharaman Ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas dan lain-Lain…

Pengharaman Ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas dan lain-Lain Yang Berkaitan Dengan Kedua-Duanya oleh Ismail bin Kassim

FATWA66-Pengharaman-Ajaran-Ilmu-Syahadah-Zikir-Nafasdanlain-Lain-Yang-Berkaitan-Dengan-Kedua-Duanya-oleh-Ismail-bin-Kassim Β· 4 March 2021

Jata Negeri Melaka

NEGERI MELAKA

Warta Kerajaan
DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF MALACCA GAZETTE
PUBLISHED BY AUTHORITY

Jil. 65
No. 5

4hb Mac 2021

TAMBAHAN No. 2
PERUNDANGAN

ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM
(NEGERI MELAKA) 2002

M. P.U. 7.

FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36
FATWA UNDER SECTION 36

FATWA yang dinyatakan dalam Jadual telah disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa di bawah Seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 [En. No. 7 tahun 2002] dan telah dikemukakan kepada Majlis oleh Mufti, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, menurut subseksyen 36(3), dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah subseksyen 36(4) bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta dan telah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri menurut subseksyen 36(6) fatwa itu adalah disiarkan dalam Warta di bawah subseksyen itu.

The FATWA set out in the Schedule was prepared by the Fatwa Committee under Section 35 of the Administration of the Religion of Islam (State of Malacca) Enactment 2002 [En. No. 7 of 2002] and has been submitted to the Majlis by the Mufti, on behalf and in the name of the Fatwa Committee, pursuant to subsection 36(3), and the Yang di-Pertuan Agong has given his assent under subsection 36(4) for the publication of the fatwa in the Gazette and the State Government has been informed of the fatwa pursuant to subsection 36(6) and the fatwa is published the Gazette under that subsection.

JADUAL

PENYEWELENGAN AJARAN ILMU SYAHADAH, ZIKIR NAFAS DAN LAIN-LAIN
YANG BERKAITAN DENGAN KEDUA-DUANYA OLEH ISMAIL BIN KASSIM DARI
PERTUBUHAN RAHMATAN LIL ALAMIN (PERAHMAT)

  1. Ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas Dan Lain-Lain Yang Berkaitan Dengan Kedua-duanya Oleh Ismail bin Kassim dari Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) adalah menyeweleng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana mengandungi perkara-perkara yang berikut:
    1. Terbatal Kesemua Rukun Islam Sekiranya Tidak Mempelajari Ilmu Syahadah Yang Dibawa Oleh Ismail bin Kassim (IBK).

      Rukun Islam yang pertama, iaitu mengucap dua Kalimah Syahadah bagi seseorang itu terbatal sekiranya dia tidak mempelajari Ilmu Syahadah (Ilmu Penyaksian) yang dibawa oleh Ismail bin Kassim. Ilmu Syahadah yang dimaksudkan ialah ilmu penyaksian qalbu terhadap roh yang sedang berysahadah.

    2. Tuntutan Mencari Penyaksi Syahadah.

      Seseorang itu hendaklah berusaha mencari penyaksinya yang akan dibawa sebagai saksi pada hari akhirat kelak. Penyaksi tersebut akan diperoleh apabila dia menerima dan mengamalkan Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas.

    3. Ismail bin Kassim Penyaksi Syahadah.

      Ismail bin Kassim akan menjadi penyaksi syahadah seseorang di dunia dan akhirat setelah orang itu mempelajari dan menerima Ilmu Syahadah yang diajar oleh beliau. Orang yang tidak menerima ilmu ini daripada beliau, dia tidak akan memperolehi penyaksi syahadahnya, dan syahadahnya tidak diterima Allah.

    4. Wajib Mempelajari Zikir Nafas Kerana Tiada Cara Lain Untuk Mencari Allah Kecuali Melaluinya.

      Seseorang itu wajib mempelajari Zikir Nafas kerana tiada cara lain untuk mencari Allah kecuali melaluinya. Mencari Allah SWT melibatkan peranan yang dimainkan oleh qalbu. Anggota pancaindera manusia yang lain seperti mata dan telinga peranannya terhadap kepada alam zahir sahaja, berbeza dengan qalbu yang mempunyai peranan ghaib. Hanya dengan amalan Zikir Nafas boleh membuka mata hati qalbu. Oleh yang demikian, apabila mata hati qalbu seseorang telah terbuka, maka dia akan dapat melihat penyaksian roh dan perkara-perkara ghaib yang lain dengan berterusan secara autopilot.

    5. Mengambil Zikir Nafas Secara Bai’ah.

      Untuk mengambil ilmu Zikir Nafas hendaklah secara bai’ah melalui guru yang berketurunan Ahli Bait sahaja, iaitu Ismail bin Kassim.

    6. Mengisi Nafas Dengan Zikir Ψ§Ω„Ω„Ω‡ Ψ§Ψ§Ω„Ω„Ω‡.

      Zikir Nafas ialah seseorang itu perlu mengisi nafasnya dengan zikir Ψ§Ω„Ω„Ω‡ Ψ§Ψ§Ω„Ω„Ω‡. Zikir ini hendaklah dilakukan secara berterusan selama 24 jam tanpa henti. Kaedah untuk mendapatkan zikir tanpa henti ialah melalui pengisian zikir dalam pernafasan. Apabila kalimah zikir telah diisi dalam pernafasan, setiap kali manusia bernafas, nafasnya akan berzikir mengingat Allah SWT (Ψ§Ω„ Ω‡Ω„Ω„Ψ§ Ψ§Ω„ Ω‡Ω„Ω„Ψ§ Ψ§Ω„ Ω‡Ω„Ω„Ψ§ ). Perkiraan yang dibuat terhadap bilangan zikir yang akan terhasil daripada pernafasan tersebut adalah sebanyak 2,592 (108 x 24) zikir sehari.

    7. Amalan Zikir Nafas Telah Wujud Sejak Dari Zaman Nabi Adam AS.

      Amalan Zikir Nafas telah wujud sejak dari zaman Nabi Adam AS dan baginda adalah orang pertama yang mengamalkannya. Allah SWT telah meniupkan roh-Nya ke dalam jasad Nabi Adam AS dan seterusnya bernafas, dan nafas pertama yang naik dan turun daripada Adam AS adalah berbentuk Zikir Nafas.

    8. Zikir Nafas Adalah Amalan 124,000 Para Rasul Dan Para Wali Allah.

      Para rasul AS diperintahkan oleh Allah SWT untuk berkhalwat di dalam gua, apabila berada di dalam gua akan didengar secara jelas bunyi perkataan Zikir Nafas, iaitu 'hu', 'hu', 'hu'.

    9. Amalan Zikir Nafas Adalah Sahih Dan Sabit Melalui al-Quran, dan al-Hadith.

      Sesiapa yang mengingkarinya dianggap telah menaruh syak terhadap al-Quran dan al-Hadith.

    10. Semua Makhluk Hidup Dengan Rahsia 'Hu'.

      Semua makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT dapat terus hidup dengan kalimah 'hu'. 'Hu' juga merupakan bunyi nafas yang sedia ada, bunyi oksigen, segala bunyian, peredaran bintang, planet bulan dan mata hati.

    11. Hari Kiamat Akan Berlaku Apabila Tiada Lagi Makhluk Yang Nafasnya Berzikir Dengan Kalimah Allah.

      Semua makhluk termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan manusia akan mati dan diikuti dengan berlakunya hari kiamat apabila tiada lagi makhluk yang nafasnya berzikir dengan kalimah Allah.

    12. Kelebihan Luar Biasa Apabila Mengamalkan Zikir Nafas.

      Kelebihan luar biasa apabila mengamalkan Zikir Nafas ialah:

      1. Menyambung talian dengan Allah SWT;
      2. Menyambung talian dengan Nabi Muhammad SAW;
      3. Menyambung talian emas dengan guru-guru yang sampai sanadnya kepada Nabi Muhammad SAW;
      4. Nafas terkawal daripada segala gangguan syaitan, iblis, ifrit dan jin;
      5. Dianggap berada di landasan sirat al-mustaqeem;
      6. Nafas sentiasa rasa dikawal;
      7. Nafas berjalan dengan kelajuan yang begitu normal walaupun mendengar berita buruk dan menakutkan;
      8. Hidup dan mati menjadi kesedaran diri walaupun berada di mana jua;
      9. Apabila lalai dan alpa, nafas akan datang menyedarkan diri kepada Allah; dan
      10. Akan mendapat husnu al-khatimah.
    13. Mengamalkan Kepercayaan Wahdat al-Wujud.

      Ismail bin Kassim pernah mengungkapkan kata-kata yang jelas membawa kepada makna Wahdat al-Wujud, iaitu "Aku berkata-kata dengan lidah ni, ini lidah Allah, ini lidah Allah, kafir kamu pergi, kalau kamu menolak, pergi, ini lidah Allah, ini perkataan Allah, di mana kau, kafir terus...".

    14. Mentakwil Ayat-Ayat al-Quran Secara Batil.

      Mentakwil ayat-ayat al-Quran secara batil, antaranya seperti yang berikut: Pada ayat dalam Surah al-Fatihah: Ψ§Ω‡Ψ―Ω†Ψ§ Ψ§Ω„Ψ΅Ψ±Ψ§Ψ· Ψ§Ω„Ω…Ψ³ΨͺΩ‚ΩŠΩ… Allah SWT akan menjawab: Ψ΅Ψ±Ψ§Ψ· Ψ§Ω„Ψ°ΩŠΩ† Ψ§Ω†ΨΉΩ…Ψͺ ΨΉΩ„ΩŠΩ‡Ω…, iaitu Ψ§Ω„Ω…Ψ±Ψ§ΨͺΩŠΩ† Ψ§Ω„Ψ΅Ψ§Ω„Ψ­ΩŠΩ†, Ψ§Ω„Ψ΄Ω‡Ψ―Ψ§Ψ‘ و Ψ§Ω„Ψ΅Ψ―ΩŠΩ‚ΩŠΩ†, Tafsiran bagi ketiga-tiga perkataan tersebut adalah seperti yang berikut:

      1. Ψ§Ω„Ψ΅Ψ§Ω„Ψ­ΩŠΩ† : Mempunyai Zikir Nafas dan kenal Allah dengan aqal;
      2. Ψ§Ω„Ψ΄Ω‡Ψ―Ψ§Ψ‘ : Mempunyai Zikir Nafas dan syahadah dengan qalbu;
      3. Ψ§Ω„Ψ΅Ψ―ΩŠΩ‚ΩŠΩ† : Mempunyai Zikir Nafas dan rohnya bersyahadah.
    15. Kaedah Penafsiran al-Quran (Usul Tafsir) Yang Menyeleweng.

      Ayat-ayat al-Quran tidak boleh difahami semata-mata dengan membaca terjemahan, kitab-kitab tafsir, mahupun asbab al-nuzul, bahkan hanya boleh difahami dengan Ilmu al-Quran (Ilmu Takwil, Ilmu al-Furqan, Ilmu Ma'na, Ilmu Maqsud, Ilmu Hikmah, Ilmu Makrifat, Ilmu Hakikat, Ilmu Asrar, Ilmu Ghaib dan Ilmu Yaqin).

    16. Berpegang Kepada Hadis Palsu.

      Antaranya adalah seperti yang berikut:

      1. "Sesiapa yang menyakiti seorang tolibul-ilmi seperti menyakiti 124,000 nabi, sesiapa yang menyakiti 124,000 nabi seperti menyakiti Rasulullah SAW, sesiapa yang menyakiti Rasulullah SAW seperti menyakiti Allah, dan sesiapa yang menyakiti Allah, neraka tempatnya".
      2. "Barang siapa yang mencarikku, pasti menjumpai-Nya, barang siapa yang menjumpai-Nya, maka dia telah menjumpai segala galanya, Nabi Muhammad SAW bertanya bagaimana ingin mencari Allah, dan Allah pun menjawab: 'Syahadah' ".
      3. "Barang siapa yang datang berjumpa dengan Aku dalam pada mana dia mengenal aku, setiap kebaikan aku beri dia sedunia bilangan makhluk yang pernah Aku cipta dan akan Aku cipta".
    17. Ghuluw (Melampau) Dalam Menghormati Guru.

      Peraturan yang wajib dipatuhi oleh murid kepada Ismail bin Kassim selaku guru atau sheikh seperti yang berikut:

      1. Sesiapa yang hendak bersalaman dengan guru, wajib mengambil wuduk terlebih dahulu kerana guru dianggap membawa al-Quran yang hidup;
      2. Setiap murid berkeadaan yakin bahawa guru dapat mengesan ketaatan murid, atas izin Allah SWT;
      3. Setiap murid jangan menderhaka kepada guru atas amanah-amanahnya;
      4. Setiap murid jangan ada sangkaan bahawa guru tidak mengetahui kelakuan dan perbuatan mereka;
      5. Setiap murid jangan meragui atau membantah di hadapan guru atau di belakangnya kerana guru hanya mengajar ilmu kalimah la ilaha illallah;
      6. Setiap murid jangan sekali-kali melanggar panduan di atas, kelak akan terjerumus ke dalam kecelakaan dan kebinasaan.
  2. Oleh itu, mana-mana orang Islam adalah diharam dan dilarang:
    1. berpegang dan beramal dengan ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas dan lain-lain yang berkaitan dengan kedua-duanya oleh Ismail bin Kassim dari Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) atau seumpamanya. Mana-mana orang Islam yang telah berba'i’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT;
    2. semua bentuk pengajian, penerbitan dan pengedaran bahan-bahan ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas dan lain-lain yang berkaitan dengan kedua-duanya oleh Ismail bin Kassim dari Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) atau seumpamanya melalui apa jua medium hendaklah disekat, dihenti dan diharamkan serta-merta.
  3. Mana-mana orang Islam yang melakukan apa juga aktiviti yang berkaitan dengan ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas dan lain-lain yang berkaitan dengan kedua-duanya oleh Ismail bin Kassim dari Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) atau seumpamanya adalah melakukan kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Melaka.

Bertarikh 6 Januari 2021
Dated 6 January 2021
[JMM/BFB(S)600-1/8/1; PUNM. 700-02/37 Jilid 4]

DATUK SERI UTAMA HJ. SULAIMAN BIN MD ALI
Pengerusi/Chairman
Majlis Agama Islam
Melaka

Fail Fatwa

FATWA66-Pengharaman-Ajaran-Ilmu-Syahadah-Zikir-Nafasdanlain-Lain-Yang-Berkaitan-Dengan-Kedua-Duanya-oleh-Ismail-bin-Kassim.pdf
← Kembali ke Aqidah Semua Warta Fatwa β†’