NEGERI MELAKA
Warta Kerajaan
DITERBITKAN DENGAN KUASA
GOVERNMENT OF MALACCA GAZETTE
PUBLISHED BY AUTHORITY
Jil. 53 No. 24
M.P.U. 23.
19hb November 2009
TAMBAHAN No. 11
PERUNDANGAN
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002
FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36
FATWA yang dinyatakan dalam Jadual telah disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 [En. No. 7 tahun 2002] dan telah dikemukakan kepada Majlis oleh Mufti, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, menurut subseksyen 36(3), dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah subseksyen 36(4) bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta dan telah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri menurut subseksyen 36(6) fatwa itu adalah disiarkan dalam Warta di bawah subseksyen itu.
JADUAL
Menetapkan bahawa pada dasarnya harta zakat tidak harus dilaburkan. Bagaimanapun, sekiranya agihan zakat telah dibuat dengan sempurna kepada semua asnaf yang berhak memilikinya, lalu didapati masih ada lebihan, maka adalah harus harta zakat tersebut dilaburkan atas maslahah โammah tetapi hendaklah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan seperti berikut :
- Majlis Agama Islam Melaka dapat memberi jaminan bertulis bahawa harta asal zakat yang dilaburkan adalah tetap harta zakat dan begitu juga keuntungannya hendaklah dikembalikan kepada akaun zakat untuk dibelanjakan kepada asnaf yang berhak setelah ditolak kos pengurusan yang munasabah;
- Ada jaminan bertulis bahawa Majlis Agama Islam Melaka bersedia untuk membayar balik kesemua jumlah harta zakat yang dilaburkan itu kepada akaun zakat jika berlaku kerugian dalam pelaburan;
- Ada jaminan bertulis bahawa harta zakat yang dijadikan modal pelaburan itu boleh dicairkan pada bila-bila masa apabila ada keperluan mendadak di mana harta zakat itu perlu diagihkan;
- Pelaburan tersebut hendaklah dilakukan dengan teratur dan ianya mestilah berlandaskan syariat;
- Hendaklah dibuat kajian terperinci berkenaan dengan satu-satu pelaburan yang hendak diusahakan menggunakan harta zakat dan perlu dipastikan ianya terjamin selamat;
- Hendaklah mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka bagi memastikan dasar-dasar syariat terpelihara;
- Pelaburan tersebut hendaklah dikendalikan oleh satu badan ataupun jawatankuasa khas yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang pelaburan dan bersifat amanah.
Bertarikh 6 November 2009
[JMM/BFB(S)/351/255/02/07; PUNM. 700-02/37]
DATUK SERI HAJI MOHD ALI BIN MOHD RUSTAM
Pengarah/Chairman
Majlis Agama Islam Melaka