11 Rabiulawal 1448 H | Isnin, 24 Ogos 2026
Soalan Lazim Peta Laman Maklum Balas |
| |
Jabatan Mufti Negeri Melaka
Utama / Warta Fatwa / Aqidah / Fahaman Atau Ajaran Atau Ideologi Atau Doktrin Gerakan al-D…

Fahaman Atau Ajaran Atau Ideologi Atau Doktrin Gerakan al-Dawla al-Islamiya Fi Iraq Wa al-Sham (DAESH), Atau Juga Dikenali Sebagai Islamic State In Iraq And Syams (ISIS), Atau Islamic State (IS)

fahaman-atau-ajaran-atau-ideologi-atau-doktrin-gerakan-al-dawla Β· 23 February 2023

Jata Negeri Melaka

NEGERI MELAKA

Warta Kerajaan
DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF MALACCA GAZETTE
PUBLISHED BY AUTHORITY

Jil. 67
No. 8

23hb Februari 2023

TAMBAHAN No. 4
PERUNDANGAN

ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM
(NEGERI MELAKA) 2002
ADMINISTRATION OF THE RELIGION OF ISLAM
(STATE OF MALACCA) ENACTMENT 2002

M. P. U. 8.

FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36
FATWA UNDER SECTION 36

FATWA yang dinyatakan dalam Jadual telah disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 [En. No. 7 tahun 2002] dan telah dikemukakan kepada Majlis oleh Mufti, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, menurut subseksyen 36(3), dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah subseksyen 36(4) bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta dan telah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri menurut subseksyen 36(6) fatwa itu adalah disiarkan dalam Warta di bawah subseksyen itu.

THE FATWA set out in the Schedule was prepared by the Fatwa Committee under section 35 of the Administration of the Religion of Islam (State of Malacca) Enactment 2002 [En. No. 7 of 2002] and has been submitted to the Majlis by the Mufti, on behalf and in the name of the Fatwa Committee, pursuant to subsection 36(3), and the Yang di-Pertuan Agong has given his assent under subsection 36(4) for the publication of the fatwa in the Gazette and the State Government has been informed of the fatwa pursuant to subsection 36(6) and the fatwa is published the Gazette under that subsection.

JADUAL/SCHEDULE

  1. Fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin gerakan al-Dawla al-Islamiya Fi Iraq Wa al-Sham (DAESH), atau juga dikenali sebagai Islamic State In Iraq And Syams (ISIS), atau Islamic State Of Iraq And The Levant (ISIL) atau Islamic State (IS) (selepas ini dirujuk secara kolektif sebagai IS) yang bersifat militan atau tidak, adalah menyimpang dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana mengandungi elemen-elemen seperti yang berikut:
    1. membunuh manusia secara kejam dengan menyembelih, mengebom, menembak, meletupkan, melemaskan serta membakar tahanan hidup-hidup;
    2. menyerang dan membunuh rakyat yang tidak bersalah yang tidak menyertai perjuangan mereka;
    3. merogol wanita-wanita yang ditawan kerana dianggap sebagai hamba tawanan perang;
    4. memusnahkan rumah-rumah ibadat agama-agama lain dan perkuburan yang dianggap sebagai bidaah dan khurafat pada pandangan mereka;
    5. membunuh orang-orang awam tanpa mengira agama, keturunan, usia, termasuk orang dewasa, wanita dan kanak-kanak yang tidak sehaluan dengan fahaman mereka demi mencapai cita-cita politik dan matlamat ketenteraan mereka;
    6. menegakkan doktrin IS menggunakan jihad qital (perang) dan keganasan;
    7. mendakwa sesiapa yang tidak menyertai jihad dalam bentuk yang mereka fahami telah melakukan dosa besar dan bukan Muslim yang sebenarnya;
    8. menuduh umat Islam yang mengamalkan sistem demokrasi dan terlibat dalam pilihan raya dan kepartian sebagai taghut, munafik atau kafir;
    9. menghalalkan darah orang Islam yang menentang mereka kerana dianggap sebagai taghut, munafik atau kafir serta dituduh bersekutu dengan musuh Islam;
    10. meyakini bahawa negara-negara umat Islam selain Daulah IS yang mengamalkan sistem moden adalah negara kafir dan wajib diperangi;
    11. mengkafirkan pemerintah Islam yang tidak menegakkan hukum Syariah dalam sesebuah negara;
    12. menyempitkan dan menyalahi tafsirkan konsep jihad dengan melaksanakan jihad hujumi (serangan ofensif) sebagai satu-satunya cara untuk menegakkan Islam;
    13. mengisytiharkan Daulah IS yang mereka anggap sebagai negara Islam tanpa melalui proses yang sahih dan benar bahkan tidak mendapat pengiktirafan ulama' muktabar dunia;
    14. melakukan apa-apa perbuatan yang dikaitkan dengan IS.
  2. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada mana-mana elemen fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS termasuklahβ€”
    1. menjadi pengikut kepada fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS atau apa-apa fahaman, atau ajaran, atau ideologi atau doktrin yang mempunyai persamaan dengan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS;
    2. berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS;
    3. mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS atau apa-apa fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin yang mempunyai persamaan dengannya melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain;
    4. berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS;
    5. menghidupkan atau menyebarkan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS;
    6. mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa program, aktiviti, perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS;
    7. membiayai pergerakan IS;
    8. memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedarkan filem, rakaman audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan atau apa-apa dokumen menggunakan apa-apa bentuk, lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh dikaitkan dengan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS;
    9. telah berbaiah (taat setia) dengan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS; dan
    10. mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS di negeri Melaka.
  3. Mana-mana orang Islam yang telah berbaiah atau mengamalkan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS seperti yang dinyatakan dalam perenggan 2 di atas adalah disifatkan melakukan perbuatan dan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah SWT.
  4. Apa-apa juga bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin IS atau apa-apa fahaman atau ajaran atau ideologi atau doktrin yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain yang bertentangan dengan fahaman dan ajaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.
  5. Mana-mana orang Islam yang melakukan perbuatan-perbuatan yang dinyatakan di dalam perenggan 2, 3 dan 4 adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Melaka.

Bertarikh 1 Februari 2023
Dated 1 February 2023
[JMM/BFB(S)600-1/8/1 Jld. 2; PUNM. 700-01/37 Jilid 4]

DATUK SERI UTAMA (Dr.) H. SULAIMAN BIN MD ALI
Pengerusi/Chairman
Majlis Agama Islam
Melaka

Fail Fatwa

fahaman-atau-ajaran-atau-ideologi-atau-doktrin-gerakan-al-dawla.pdf
← Kembali ke Aqidah Semua Warta Fatwa β†’