11 Rabiulawal 1448 H | Isnin, 24 Ogos 2026
Soalan Lazim Peta Laman Maklum Balas |
| |
Jabatan Mufti Negeri Melaka
Utama / Warta Fatwa / Aqidah / Amalan Dan Kepercayaan Khurafat di Pulau Besar Melaka

Amalan Dan Kepercayaan Khurafat di Pulau Besar Melaka

FATWA45-Khurafat_Pulau_Besar_24_Sept_2015 Β· 24 September 2015

Jata Negeri Melaka

NEGERI MELAKA

Warta Kerajaan
DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF MALACCA GAZETTE
PUBLISHED BY AUTHORITY

Jil. 59
No. 20

24hb September 2015

TAMBAHAN No. 12
PERUNDANGAN

ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002
ADMINISTRATION OF THE RELIGION OF ISLAM (STATE OF MALACCA) ENACTMENT 2002

M. P.U. 14.

FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36
FATWA UNDER SECTION 36

Fatwa yang dinyatakan dalam Jadual telah disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 [En. No. 7 tahun 2002] dan telah dikemukakan kepada Majlis oleh Mufti, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, menurut subseksyen 36(3), dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah subseksyen 36(4) bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta dan telah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri menurut subseksyen 36(6) fatwa itu adalah disiarkan dalam Warta di bawah subseksyen itu.

The Fatwa set out in the Schedule was prepared by the Fatwa Committee under section 35 of the Administration of the Religion of Islam (State of Malacca) Enactment 2002 [ En. No. 7 of 2002 ] and has been submitted to the Majlis by the Mufti, on behalf and in the name of the Fatwa Committee, pursuant to subsection 36(3), and the Yang di-Pertuan Agong has given his assent under subsection 36(4) for the publication of the fatwa in the Gazette and the State Government has been informed of the fatwa pursuant to subsection 36(6) and the fatwa is published the Gazette under that subsection.

JADUAL/SCHEDULE

  1. Amalan dan perbuatan khurafat yang dilakukan di Pulau Besar, Melaka adalah bertentangan dengan hukum syarak dan boleh membawa kepada syirik. Antara amalan dan perbuatan khurafat yang dilakukan di Pulau Besar, Melaka adalahβ€”
    1. memohon hajat di sisi kubur atau objek-objek tertentu atau tempat-tempat tertentu yang didakwa sebagai keramat atau dikaitkan dengan sesuatu manfaat atau mudharat di sekitar Pulau Besar, Melaka;
    2. memuja dengan tujuan untuk mendapatkan bantuan daripada sesuatu objek yang didakwa sebagai kubur Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail, kubur Tujuh Beradik, kubur Syarifah Rodziah, kubur Syeikh Yusuf, kubur Tok Janggut, kubur Nenek Kebayan, Tempayan Pecah, Batu Belah, Gua Yunus, perigi Nenek Kebayan, Tasik Bunian, Tasik Biawak dan Pokok Disula atau memuja apa jua objek yang terdapat di Pulau Besar, Melaka.
    3. melakukan upacara berdoa bagi pihak orang bukan Islam untuk memohon agar ditunaikan hajat mereka;
    4. mandi di tempat yang didakwa sebagai Perigi Nenek Kebayan dan Tempayan Pecah atau menjadikan batu-batu atau objek yang diambil daripada perigi tersebut sebagai tangkal atau azimat, membakar colok di sekitar kawasan yang didakwa sebagai kubur dan pokok-pokok dengan mempercayai ia boleh memberi manfaat atau menolak mudharat;
    5. menjamu orang ramai dengan daging atau binatang sembelihan yang dinazar oleh orang Islam dan bukan Islam di Pulau Besar, Melaka kerana mengandungi syubhah pada niat dan tujuan yang dikaitkan dengan sesuatu manfaat atau mudharat;
    6. mengadakan upacara menaik dan menurunkan bendera diiringi dengan bacaan tahlil atau zikir-zikir tertentu, berjalan kaki tanpa kasut atau selipar menuju ke gua atau perigi dan perbuatan menyapu atau menjirus cairan cendana berwarna kuning pada batu nisan dan kubur Syeikh Ismail; dan
    7. amalan-amalan dan perbuatan-perbuatan lain yang boleh disifatkan sebagai amalan atau perbuatan khurafat di Pulau Besar, Melaka.
  2. Oleh itu, mana-mana orang Islam adalah dilarang melakukan apa jua amalan atau perbuatan khurafat atau apa-apa jua upacara yang bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam di Pulau Besar, Melaka.
  3. Mana-mana orang Islam yang melakukan amalan dan perbuatan khurafat atau sebarang amalan dan perbuatan yang boleh disifatkan sebagai khurafat di Pulau Besar, Melaka adalah melakukan suatu kesalahan kerana melanggar hukum syarak dan boleh diambil tindakan menurut undang-undang serta wajib bertaubat dengan meninggalkannya dan memohon keampunan kepada Allah Ta’ala.

Bertarikh 27 Januari 2015
Dated 27 January 2015
[JMM/BFB(S)/351/255/01/17; PUNM. 700-02/37 Jilid 3]

DATUK SERI IR. HJ. IDRIS BIN HJ. HARON
Pengerusi/Chairman
Majlis Agama Islam Melaka

Fail Fatwa

FATWA45-Khurafat_Pulau_Besar_24_Sept_2015.pdf
← Kembali ke Aqidah Semua Warta Fatwa β†’