11 Rabiulawal 1448 H | Isnin, 24 Ogos 2026
Soalan Lazim Peta Laman Maklum Balas |
| |
Jabatan Mufti Negeri Melaka
Utama / Warta Fatwa / Aqidah / Ajaran Dan Fahaman Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) Yang…

Ajaran Dan Fahaman Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) Yang Disebarkan oleh Haji Shaari bin Mohd Yusof

ajaran-dan-fahaman-ilmu-makrifat Β· 23 February 2023

Jata Negeri Melaka

NEGERI MELAKA

Warta Kerajaan
DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF MALACCA GAZETTE
PUBLISHED BY AUTHORITY

Jil. 67
No. 8

23hb Februari 2023

TAMBAHAN No. 4
PERUNDANGAN

ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM
(NEGERI MELAKA) 2002

M. P.U. 9.

FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36
FATWA UNDER SECTION 36

FATWA yang dinyatakan dalam Jadual telah disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 [En. No. 7 tahun 2002] dan telah dikemukakan kepada Majlis oleh Mufti, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, menurut subseksyen 36(3), dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah subseksyen 36(4) bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta dan telah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri menurut subseksyen 36(6) fatwa itu adalah disiarkan dalam Warta di bawah subseksyen itu.

THE FATWA set out in the Schedule was prepared by the Fatwa Committee under section 35 of the Administration of the Religion of Islam (State of Malacca) Enactment 2002 [En. No. 7 of 2002] and has been submitted to the Majlis by the Mufti, on behalf and in the name of the Fatwa Committee, pursuant to subsection 36(3), and the Yang di-Pertuan Agong has given his assent under subsection 36(4) for the publication of the fatwa in the Gazette and the State Government has been informed of the fatwa pursuant to subsection 36(6) and the fatwa is published the Gazette under that subsection.

JADUAL/SCHEDULE

  1. Ajaran dan fahaman Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) yang disebarkan oleh Haji Shaari bin Mohd Yusof melalui buku β€œMengenal Diri Ilmu Peninggalan Tok Kenali Kelantan”, β€œMengenal Allah Ilmu Peninggalan Tok Kenali”, ceramah-ceramah yang disampaikan, DVD siri ceramah dan laman sesawang yang digunakan untuk menyebarkan ajarannya adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar berlandaskan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  2. Antara perkara yang mengelirukan dan menyeleweng dalam Ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) tersebut adalah seperti yang berikut:
    1. Bercanggah Dengan Fakta Sejarah. Dakwaan Ilmu Makrifat yang diperoleh adalah peninggalan ilmu Syeikh Daud al-Fatani yang diwarisi oleh dua ulama terkenal, iaitu Tok Kenali dan Tok Selehong adalah satu pembohongan, kerana kedua-dua ulama tersebut tidak sempat berguru dengan Syeikh Daud al-Fatani yang meninggal dunia pada tahun 1846, iaitu lebih 22 tahun sebelum kelahiran kedua-dua ulama tersebut.
    2. Berfahaman Mujassimah. Haji Shaari cuba mentaisimkan Allah dengan makhluk. Meletakkan bagi Allah ada sifat-sifat seperti wajah, tangan, mata. Makhluk adalah bayang wajah Allah, wajah Allah merupakan wajah makhluk, sarung Allah, kulit Allah, persalinan dan pakaian Allah.
    3. Berfahaman Wahdatul Wujud. Haji Shaari menyatakan bahawa tauhid menurut ilmu makrifat adalah penjernihan diri dalam mengesakan segala sifat agar menjadi satu, iaitu wahdatul sifat, wahdatul asma’, wahdatul zat ke dalam Allah yang satu. Oleh itu, apabila roh berjaya dihidarkan dalam sembahyang hingga mencapai tahap β€œyang disembah itu adalah yang disembah”, maka dirinya sendiri akan berubah menjadi wajah Allah.
    4. Berfahaman al-Hulul wa al-Ittihaad. Fahaman ini menyatakan bahawa asal semua perkara adalah satu. Manusia juga berasal daripada satu, yakni zat Allah sendiri. Daripada zat Allah, terjadi Nur Muhammad dan kemudian terjadi sekalian makhluk. Manusia itu berasal daripada Allah, maka hendaklah kembali kepada Allah. Asal manusia itu bukan daripada mani, darah, Adam atau Hawa tetapi daripada yang satu, iaitu Allah.
    5. Mendakwa Boleh Melihat Allah Semasa Di Dunia. Haji Shaari mendakwa Allah boleh dilihat di dunia oleh manusia sebagaimana manusia itu dilihat oleh Allah. Kejelasan melihat Allah itu umpama terangnya cahaya matahari dan menatap wajah Allah secara terus tanpa hijab.
    6. Mendakwa Orang Yang Tidak Mengenal Diri Itu Adalah Lebih Kafir Daripada Orang Kafir. Haji Shaari mengkafirkan orang yang tidak mengenal diri dan mengatakan orang yang belum mengenal diri adalah jijik, kotor dan najis. Jika dia mati, maka matinya adalah dalam keadaan kafir.
    7. Mendakwa Tidak Ada Apa-apa Kelebihan Pada Lailatul Qadar. Haji Shaari turut mendakwa tidak ada apa-apa kelebihan pada Lailatul Qadar. Ia hanyalah gambaran perubahan hati daripada sifat jahil kepada alim, daripada gelap kepada terang, daripada hina kepada mulia dan daripada hidup tanpa Allah kepada memperoleh ilmu mengenal Allah.
    8. Kekeliruan Dalam Pemahaman Nafi dan Isbat Dalam Dua Kalimah Syahadah. Menurut Ilmu Makrifat Haji Shaari, kalimah (Ω„Ψ§) memberi makna tiada alam, manusia, bintang, tumbuhan dan seluruh makhluk ini. Manakala (Ψ§Ω„Ω„Ω‡) pula terbahagi kepada dua β€œilla” dan β€œha” yang memberi maksud isbat atau ada makhluk dalam wajah Allah dan demikian (Ω„Ψ§) merujuk kepada ketiadaan makhluk.
    9. Berfahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama. Haji Shaari mengatakan bahawa semua agama adalah sama, iaitu menuju Allah yang satu. Perkataan Allah boleh digunakan oleh agama lain dengan menukarkan nama tuhan agama masing-masing, semuanya menuju Tuhan yang satu sama. Apa yang penting dalam sembahyang apa jua agama adalah zikr dan khusyuk. Oleh itu, apa sahaja sembahyang adalah baik dan yang penting ada zuk dan khusyuk. Agama Islam dan Buddha tidak ada beza. Orang yang tidak mengenal diri sahaja yang mengatakan bahawa agama-agama itu berbeza. Orang yang mengenal diri menganggap semua agama, aliran, fahaman dan mazhab menuju kepada yang satu jua. Pada dasarnya, Islam dan Buddha adalah sama. Kedu-duanya bertuhankan Tuhan yang satu, cuma bezanya pada lafaz dan sebutan sahaja.
  3. Oleh itu, mana-mana orang Islam adalah diharam dan dilarang:
    1. menganut, mengamal, menjadi ahli, menjadi pengikut, mengisytiharkan diri sebagai ahli; atau
    2. memiliki, menyimpan, mencetak, menerbit, menjual, mengedar atau menggunakan apa-apa terbitan, risalah, majalah, buku, media sosial, dokumen, rakaman audio, filem; atau
    3. mengajar, menyebar, menghidup, membantu, menganjur, mempromosi fahaman dan ajaran, atau menghadiri apa-apa majlis yang dikaitkan dengan ajaran tersebut.
  4. Mana-mana orang Islam yang melakukan mana-mana perkara di atas adalah melakukan kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Melaka.

Bertarikh 1 Februari 2023
Dated 1 February 2023
[JMM/BFB(S)600-1/8/1 Jld. 2; PUNM. 700-02/37 Jilid 4]

[NAME REDACTED]
Pengerusi/Chairman
Majlis Agama Islam
Melaka

Fail Fatwa

ajaran-dan-fahaman-ilmu-makrifat.pdf
← Kembali ke Aqidah Semua Warta Fatwa β†’