Tahun 2005
A- A A+

KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI MELAKA BIL 2/2005

TARIKH MESYUARAT : 15 Muharram 1426H/24 Februari 2005M

Tajuk Fatwa  Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka 
Permohonan Fatwa Atau Pandangan Hukum Syara‘ Mengenai Hukum Pembatalan Dan Penarikan Semula Perwakafan Tanah Lot 1089, Mukim Merlimau, Daerah Jasin, Melaka Dan Hukum Menukar Niat Wakaf Daripada Wakaf Khas Kepada Wakaf Am 

Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa sebulat suara memutuskan bahawa:

  1. Menurut Mazhab Syafi‘iyy, tiada sebarang khiyar sama ada khiyar majlis atau khiyar syarat di dalam wakaf. Hak milik harta wakaf tersebut berpindah kepada Allah subhanahu wata‘ala dan pengurusannya berpindah kepada yang mentadbir wakaf tersebut sama ada wakaf dibuat bagi tujuan khusus atau umum. Oleh yang demikian, pembatalan dan penarikan semula perwakafan tanah Lot 1089, Mukim Merlimau, Daerah Jasin, Melaka adalah tidak dibenarkan berdasarkan peristiwa perwakafan tanah Syyidina ‘Umar al-Khattab di Khaybar yang menyatakan bahawa ia tidak boleh dijual, tidak dihadiahkan dan tidak dipusakakan.
  2. Cadangan pihak Majlis Agama Islam Melaka agar pewakaf munukar sahaja niat wakaf khas kepada wakaf am dengan tujuan untuk mengekalkan wakaf tidak boleh dilaksanakan kerana berdasarkan pandangan Mazhab Syafi‘iyy, harta yang diwakafkan akan berpindah milik daripada anak Adam kepada milik Allah selama-lamanya dan pengurusannya diserahkan kepada pihak yang mentadbir wakaf tersebut. Ini bermakna pewakaf tiada sebarang hak lagi ke atas harta/tanah tersebut memandangkan proses perwakafan telah pun dilakukan. Oleh yang demikian, pengurusan tanah wakaf di Lot 1089, Mukim Merlimau, Daerah Jasin, Melaka, adalah tertakluk sepenuhnya kepada pihak Majlis Agama Islam Melaka selaku Nazir yang dilantik dan terserahlah kepada pihak Majlis untuk menguruskan tanah wakaf tersebut.
 
Permohonan Pandangan Hukum Mengenai Penjualan Dan Tuntutan Ke Atas Pampasan Harta Pusaka Hassan Bin Mualap@Hasan Bin Moulap – MCL 398, Lot 785, Mukim Tanjung Minyak, Daerah Melaka Tengah, Melaka

Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara memutuskan bahawa:

  1. Perjanjian jual beli yang dibuat oleh Tuan Haji Moksin bin Haji Ikhsan dan Tuan Haji Mahrop bin Haji Hassan dengan Amoh binti Othman dengan niat menjual keseluruhan lot berkenaan adalah tidak sah dan ia merupakan jual beli yang fasid (rosak). Ini adalah kerana lot tanah tersebut bukan milik penuh sempurna kepada Amoh binti Othman. Walau bagaimanapun, perjanjian jual beli tersebut hanya sah dengan kadar satu per empat (1/4) bahagian sahaja daripada keseluruhan tanah tersebut memandangkan ianya adalah milik yang sempurna kepada Amoh binti Othman.
  2. Pihak yang memohon iaitu Tuan Haji Moksin bin Haji Ikhsan dan Tuan Haji Mahrop bin Haji Hassan hanya berhak menuntut satu per empat (1/4) bahagian sahaja daripada keseluruhan tanah tersebut, manakala tiga per empat (3/4) bahagian lagi adalah hak milik Majlis Agama Islam Melaka. Oleh yang demikian, berdasarkan bukti pembelian yang telah dikemukakan, pihak Majlis Agama Islam Melaka hanya perlu menyerahkan satu per empat (1/4) bahagian sahaja daripada baki tanah atau pampasan ke atas tanah Lot 785, Mukim Tanjung Minyak, Daerah Melaka Tengah tersebut kepada Tuan Haji Moksin bin Haji Ikhsan dan Tuan Haji Mahrop bin Haji Hassan.

Imbas QR ini bagi
melayari Portal Rasmi
menggunakan telefon
pintar
facebook-button Youtube Button
 
Paparan Terbaik menggunakan Internet Explorer 9 ke atas, Mozilla Firefox 3.5
ke atas, Safari dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 pixels
Tarikh Kemaskini : 18 Oktober 2019
Jumlah Pengunjung : 1109191
Hubungi Kami :
Jabatan Mufti Negeri Melaka
Aras 2, Imarah A, Pusat Islam Melaka
75150 Jalan Bukit Palah, Melaka.
Telefon : +606-2847920/21 
Faks : +606-2848144
Email : jkmmufti@gmail.com