kembali ke www.al-azim.com | kembali ke laman utama
Ruangan Baru : Soal Jawap Dalam Mengerjakan Haji
Panduan Haji
Tempat Bersejarah Di Makkah dan Madinah
Garis Panduan Ibadah Qurban

 

MIQAT DAN BERIHRAM

Soalan
Apakah perbezaan di antara miqat makani dan zamani?

Jawapan

Miqat makani ialah tempat kita menunaikan niat. Miqat zamani pula ialah masa kita memulakan niat. Miqat makani bagi haji untuk orang yang datang dari jauh ialah 5 tempat menurut jurusan daerah masing-masing. Tempat-tempat itu tersebut dalam hadis Nabi saw. Miqat ini juga menjadi miqat umrah mereka. Orang yang tinggal di Makkah atau kawasan sekitarannya miqat hajinya ialah tempat tinggalnya. Adapun miqat umrahnya ialah tanah halal yang terdekat seperti Taneim atau yang jauh seperti Ja’ranah. Tidak ada miqat zamani bagi amalan umrah. Miqat zamani bagi haji ialah: mula daripada 1 Syawal hingga sejurus sebelum fajar 10 Zulhijjah.


Soalan
Apakah ertinya ihram?

Jawapan
Erti Ihram ialah mengharamkan atas dirinya segaola yang diihramkan semasa ihram. Tetapi ianya tidak berlaku melainkan setelah berniat. Oleh kerana itu ihram juga diertikan niat. Orang yang sudah berniat walaupun tidak memakai ihram atau dia membuat perkara yang terlarang hajinya adalah sah tetapi ia berdosa dan dikenkan dam. Kecuali jika ia bersetubuh sebelum tahallul awal maka batal hajinya.


Soalan
Adakah wanita yang didatangi haid dibolehkan mandi sunat dan berniat ihram?

Jawapan

Ya, boleh dan sunat ia mandi kerana ihram dan mandi-mandi haji yang lainnya.


Soalan
Adakah boleh berniat ihram dengan tidak memakai ihram?

Jawapan

Boleh. Tetapi berdosa dan dikenakan dam


Soalan
Apakah hukum bagi seseorang yang tidak menjatuhkan niat di miqat?

Jawapan

Hukumnya haram. Kerana setiap orang yang menuju ke Makkah dengan tujuan haji atau umrah, mesti berihram dengan niat dan dikenakan dam jika melanggar miqat.


Soalan
Apakah hukum bagi seorang yang berniat ihram haji atau umrah setelah melewati miqat?

Jawapan

Niatnya sah tetapi dikenakan dam jika ia telah melewati kesuluruhan miqat.


Soalan
Bolehkah seorang yang telah berniat ihram haji, menukar niat untuk mengerjakan umrah?

Jawapan

Tidak boleh.


Soalan
Adakah dalil yang menguatkan kelebihan bermiqat di Ja’ranah untuk berihram umrah?

Jawapan

Dalilnya ialah kerana Nabi saw bermiqat umrah dari situ pada tahun pembukaan Makkah.


Soalan
Apakah yang harus dilakukan jika seorang wanita yang berniat ihram haji tetapi tidak dapat menyempurnakan kesemua rukun-rukunnya kerana kedatangan haid hingga tiba tarikh kepulangan ke tanah airnya?

Jawapan

Ia boleh keluar meninggalkan Makkah hingga ia sampai ke tempat yang tidak mungkin ia kembali ke Makkah semua, di sana ia bertahallul kalau belum bertahallul setelah ia membayar dam kerana terhalang, dan ia wajib membuat rukun yang tertinggal itu pada bila-bila masa dengan ihram.


Soalan
Bagaimanakah yang harus dilakukan dan apakah hukumnya bagi jemaah yang telah berihram untuk mengerjakan haji atau umrah tetapi tidak dapat meneruskan niatnya untuk mengerjakan amalan-amalan tersebut dan terpaksa membatalkan ihramnya itu atas sebab-sebab tertentu seperti sakit terlantar, coma, hilang fikiran dan tidak dapat bergerak atau kerana keselamatan yang tidak terjamin di Tanah Suci atau di perjalanan menuju ke Tanah Suci ekoran dari peperangan atau keadaan huru-hara?

Jawapan

Jemaah haji yang tidak dapat meneruskan amalan haji atau umrahnya setelah mereka berihram yakni berniat, maka mereka boleh bertahallul dengan salah satu daripada dua cara berikut:
a. Mereka hendaklah membayar dam kerana terhalang dari meneruskan amalan iaitu menyembelih seekor kambing di tempat hendaklah dinilaikan harga kambing dan dibelikan makanan untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Kalau tidak mampu hendaklah mereka berpuasa menurut bilangan cupak yang dapat dibeli dengan harga seekor kambing, secupak puasanya sehari, kalau terdapat setengah cupak, puasanya juga sehari. Setelah membayar dam hendaklah mereka bertahallul dengan bercukur.
b. Mereka boleh terus bertahallul jika ada zuru yang menghalang tanpa membayar dam jika mereka telah berniat ihram dengan bersyarat iaitu kalau ada halangan, mereka akan bertahallul. Contoh niatnya: Aku niat haji/umrah dan aku berihram dengannya dengan syarat aku bertahallul jika ada uzur yang yang datang menghalang - atau lafaz lain yang seumpamanya. Maka apabila datang uzur mereka terus bertahallul.
Dalam kedua-dua keadaan mereka belum lagi sempurna mengerjakan haji. Jadi yang belum menunaikan haji wajib masih belum gugur kewajipannya dan mesti menunaikan hajinya di lain tahun.


Soalan
Adakah qaul yang membolehkan seseorang itu menggantungkan niat ihramnya?

Jawapan

Ya, ada qaul dalam perkara ini. Caranya ia hanya berniat ihram. Kemudian setelah masuk ke Makkah baharulah ia menentukan dengan niat haji atau umrah.


Soalan
Bilakah niat ihram untuk mengerjakan umrah bertukar menjadi haji?

Jawapan

Apabila seseorang itu memasukkan niat haji ke dalam umrahnya sebelum ia mula tawaf umrah, jadilah hajinya haji qiran dan dikenakan dam.


Dibangunkan oleh Jabatan Mufti Melaka